Perlu Sijil Halal Sebelum Pamer Ayat Al-Quran di Restoran
JOHOR BAHRU – Jabatan Agama Islam Johor (Jaij) mengarahkan pemilik restoran atau premis perniagaan makanan agar perlu mempunyai sijil halal diiktiraf sebelum layak menggantung atau mempamerkan ayat al-Quran.
Ketua Penolong Pengarah, Bahagian Penyelidikan Yosree Ikhsan berkata, beliau mengakui terdapat segelintir pemilik bukan Islam sengaja menggunakan taktik berkenaan sekali gus disifatkan sebagai cubaan mengelirukan pelanggan Muslim.
Menurutnya, walaupun pengusaha beragama Islam, mereka perlu memperolehi sijil halal diiktiraf sebelum dibenarkan mempamerkan ayat al-Quran di premis masing-masing.
“Perbuatan menggantung dan mempamerkan ayat al- Quran disifatkan sebagai taktik untuk menarik minat pelanggan untuk membeli, justeru kita menasihatkan semua pemilik supaya mematuhi peraturan seperti ditetapkan pihak berkuasa bagimengelakkan dikenakan sebarang tindakan.
“Kita sentiasa melakukan pemantauan secara kerap bagi memastikan pengusaha mematuhi peraturan seperti ditetapkan sekali gus mengambil kira aduan daripada orang ramai mengenai isu berkaitan sijil dan logo halal,” katanya.
Yosree berkata demikian ketika mengulas mengenai hasil Operasi Pemantauan Halal Jaij di empat lokasi berasingan sekitar bandar raya ini membabitkan premis makanan, medan selera dan kedai makanan ringan. Turut terlibat dalam operasi itu beberapa agensi penguatkuasaan termasuk Jabatan Imigresen.
Daripada operasi berkenaan, pihaknya turut mengambil tindakan menurunkan papan tanda di sebuah restoran kerana menggunakan logo halal tidak diiktiraf. Selain itu pihaknya turut mengesan pengusaha yang masih menggunakan logo berkenaan sedangkan sijil halal telah tamat tempoh.
“Bagi kesalahan yang dikesan dalam operasi berkenaan di bawah Akta Perihal Dagangan 2011, kita telah mengeluarkan peringatan amaran sehingga Jun ini,” katanya.
Sementara itu, Jabatan Imigresen turut menahan seramai lima pendatang asing tanpa izin (Pati) dalam operasi berkenaan. Kelima-lima wanita warga Indonesia itu ditahan ketika sedang bekerja di restoran makanan di pusat membeli belah di sini.
Hasil pemeriksaan mendapati wanita berusia antara 32 hingga 62 tahun itu tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah.